IPB

Selamat datang Tetamu ( Masuk | Daftar )

 
Reply to this topicStart new topic
> Firaun Wanita
padaiyappa©
kiriman Jul 27 2009, 09:29 AM
Kiriman #1


Eksekutif Junior
**

Kumpulan: Moderator
Kiriman: 392
Sertai: 8-October 08
Daripada: India
No. Ahli: 103



SELAMA 104 tahun, penyelidik dan ahli arkeologi tertanya-tanya identiti sebenar mumia yang dijumpai di lokasi KV60, kawasan perkuburan firaun di Lembah Diraja, Mesir pada 1903.

Tanpa dapat mengenalpasti siapakah pemilik jasad yang diawet itu ketika hidupnya malah menyangka ia mungkin mumia hamba biasa, penyelidik meninggalkan jasad kuno berkenaan terbiar di tapak penemuan itu melewati masa.

Sehinggalah dua bulan lalu, misteri dan tanda tanya yang menyelubungi identiti rahsia mumia berkenaan menyebabkan ia dibawa ke Muzium Kaherah untuk dikaji dengan lebih lanjut.

Di dalam makmal yang terletak di tingkat bawah muzium itu, saintis mendapatkan sampel DNA daripada tulang pelvis dan femur mumia berkenaan.

Dengan naluri yang kuat mengatakan bahawa mumia itu adalah Ratu Hatshepsut iaitu firaun wanita Mesir yang bukti kewujudannya ‘dilenyapkan’ daripada pengetahuan dunia, mereka membandingkan DNA berkenaan dengan DNA Ahmose Nefertari, iaitu nenda ratu berkenaan.

Hasil yang diperoleh menyebabkan penyelidik diketuai Ketua Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir, Zahi Hawass, tersenyum gembira - pencarian berabad terhadap kehilangan legenda Ratu Hatshepsut daripada sejarah dunia silam, berakhir pada hari itu.

“Kami yakin 100 peratus mumia itu milik Firaun Hatshepsut,” kata Zahi ketika mengumumkan penemuan menggemparkan itu, bulan lalu.

Selain menggunakan DNA, pengecaman turut dilakukan menerusi ujian saintifik struktur giginya. Sebatang gigi yang ditemui di dalam kotak berhampiran mumia itu di KV60, dikeluarkan.

Penyelidik meneliti struktur gigi itu dan mendapati terdapat tulisan ‘Hatshepsut’ padanya. Gigi itu kemudian dibandingkan dengan kedudukan rahang mumia berkenaan dan jelas, ia sepadan.

Penyelidik yakin gigi yang patah itu milik mumia berkenaan dan berdasarkan tulisan ‘Hatshepsut’ pada gigi yang dikaji itu, mereka semakin yakin yang mumia itu adalah jasad Ratu Hatshepsut.

“Penemuan mumia Ratu Hatshepsut adalah antara penemuan paling penting dalam sejarah Mesir. Mumia ini akan mengungkap lebih banyak misteri sejarah Mesir,” kata Zahi ketika mengulas penemuan yang dianggap penting selepas penemuan mumia firaun kanak-kanak, Tutankhamun oleh arkeologi Howard Carter pada 1923.

Jejak penemuan mumia Ratu Hatshepsut bermula pada 1903 apabila Carter menemui dua mumia dalam makam purba di lokasi KV60, dua dekad sebelum lelaki itu menemui Tutankhamun.

Penemuan itu membawa kepada kajian bagi mengenalpasti siapakah mumia itu ketika mereka hidup. Satu daripada mumia itu dikenal pasti sebagai dayang Ratu Hatshepsut iaitu Sitre-In manakala satu lagi gagal dikenali.
Tujuh belas tahun kemudian, Carter menemui kuil pemakaman Deir el-Bahari yang dibina Ratu Hatshepsut di Luxor tetapi misterinya, dua keranda dalam kuil itu ternyata kosong dan tidak menempatkan mumia ratu berkenaan.

Penyelidik mula tertanya-tanya ke manakah hilangnya mumia ratu itu dan mengapa makam berkenaan tidak menempatkan mayat pemerintah wanita Kerajaan Mesir Purba itu.

Tatkala kebanyakan penyelidik tidak mempedulikan mumia yang gagal dikenal pasti di K60 itu, seorang pengkaji Mesir Purba, Elizabeth Thomas, berpendapat yang mumia kedua itu mungkin jasad Ratu Hatshepsut yang disembunyikan.

Elizabeth mengemukakan teori itu selepas melihat keadaan tangan mumia yang diletakkan di dada dan posisi itu adalah protokol wajib bagi keluarga firaun apabila dimakamkan.

Bertahun berlalu, teori itu membawa kepada pemindahan mumia berusia kira-kira 3,500 tahun itu dari lokasi penemuannya ke Muzium Kaherah untuk diuji saintis pimpinan Zahi. Seterusnya ujian saintifik yang dilaksana mengesahkan ia adalah Ratu Hatshepsut.

Pengumuman Zahi itu sekali gus menyelesaikan misteri kewujudan Ratu Hatshepsut yang selama ini menjadi tanda tanya di kalangan pengkaji berikutan bukti kewujudannya dilenyapkan daripada catatan sejarah.

Penyelidik buntu memikirkan apakah sebenarnya yang berlaku kepada ratu itu pada saat akhir hayatnya. Sepanjang pemerintahannya, Ratu Hatshepsut membawa kemakmuran kepada Mesir tetapi selepas 21 tahun memerintah dengan cemerlang, tiba-tiba jasad dan bukti kewujudannya dilenyapkan pihak tertentu seolah-olah sejarahnya hanya dongeng dan beliau tidak pernah wujud di dunia ini.

Ratu Hatshepsut memerintah dari 1479 hingga 1458 Sebelum Masihi (SM) dan terkenal dalam sejarah kerana menjadi firaun walaupun dirinya seorang wanita. Sepanjang pemerintahannya, bidang seni bina berkembang pesat apabila ratu itu membina ratusan bangunan di hulu dan hilir Mesir.

Satu lagi sikap yang menyebabkan Ratu Hatshepsut dikenang sebagai firuan yang unik dalam sejarah kerana beliau berpakaian sama seperti firaun lelaki termasuk mengenakan janggut palsu.

Tampuk pemerintahan Ratu Hatshepsut berpindah kepada anak lelaki tirinya, Thutmose III pada 1458 SM dan ratu itu menemui ajal secara misteri pada tahun sama.

Selepas kematian Hatshepsut, segala bukti kewujudannya dilenyapkan dan penyelidik percaya usaha jahat itu didalangi anak lelaki tirinya yang berdendam dan cemburu dengan kejayaan pemerintahan ratu berkenaan.

Pendedahan bulan lalu juga merungkai misteri kematian Hatshepsut apabila kajian saintifik mendapati wanita itu meninggal dunia akibat kombinasi barah hati, barah tulang dan kencing manis pada usia sekitar 50 tahun. Kajian turut mendapati yang ratu itu memiliki fizikal besar akibat masalah kegemukan melampau.

FAKTA: Ratu Hatshepsut

# Selain Hatshepsut, firaun wanita lain adalah Merneith dan Sobekneferu.

# Hatshepsut adalah satu-satunya anak kepada firaun Thutmose I dan Ratu Ahmose selepas adik perempuan kandungnya, Neferubity, meninggal dunia ketika bayi. Beliau bagaimanapun memiliki empat saudara lelaki tiri iaitu Wadjmose, Amenose, Thutmose II dan Ramose.

# Saudara lelaki tirinya, Wadjmose dan Amenose pada mulanya dipilih untuk menggantikan takhta bapa mereka tetapi kedua-duanya meninggal dunia sebelum remaja.

# Hatshepsut bijak bermain politik dan hasil propaganda wanita itu menyebabkan bapanya melantik beliau sebagai pewaris takhta kerajaan.

# Hatshepsut mengahwini saudara lelaki tirinya, Thutmose II dan mereka memerintah bersama selama 13 tahun.

# Perkahwinan dengan Thutmose II menyebabkan mereka memperoleh seorang puteri, Neferure. Hatshepsut memilih Nefurure sebagai pewaris takhta tetapi puterinya itu turut meninggal dunia.

# Thutmose II turut berkahwin dengan Isis dan memperoleh seorang putera, Thutmose III.

# Thutmose II meninggal dunia meninggalkan Thutmose III sebagai satu-satunya zuriatnya tetapi putera itu tidak dilantik sebagai pewaris takhta kerana masih muda tambahan pula lelaki itu anak kepada isteri kedua Thutmose II. Keadaan itu menyebabkan Hatshepsut terus memerintah sebagai firaun.

# Selepas 21 tahun memerintah Mesir, Hatshepsut meninggal dunia dan tempatnya diambil Thutmose III.

Firaun Wanita


--------------------
Go to the top of the page
 
+Quote Post
cahaya
kiriman Feb 24 2010, 11:06 AM
Kiriman #2


Percubaan


Kumpulan: Member Rasmi
Kiriman: 5
Sertai: 19-February 10
Daripada: KL
No. Ahli: 1,950



maklumat yang menarik.
Go to the top of the page
 
+Quote Post

Reply to this topicStart new topic
1 pengguna membaca topik ini (1 Tetamu dan 0 Pengguna tidak dikenali)
0 Ahli:

 



Versi Ringkas Masa sekarang: 19th March 2024 - 03:17 PM