IPB

Selamat datang Tetamu ( Masuk | Daftar )

 
Reply to this topicStart new topic
> Manusia kerap lupa janji tak ulang maksiat
emmalisa
kiriman May 18 2009, 05:06 PM
Kiriman #1


Bukan Eksekutif
*

Kumpulan: Member Rasmi
Kiriman: 24
Sertai: 15-April 09
Daripada: putrajaya
No. Ahli: 909



AL-IMAM Ibnu Al-Qayyim dalam kitabnya Al-Daa’ wal Dawaa’ berkata: "Kegembiraanmu dengan perbuatan dosa, tertawamu ketika melakukan dosa, kesedihanmu saat tidak dapat melakukan dosa, kesungguhanmu menutupi aib akibat dosa dan hatimu yang tidak boleh gementar ketika Allah memandang dosamu, semua itu lebih berat di sisi Allah melebihi timbangan dosa itu."Betapa mudahnya kita melupakan dosa sedangkan Allah merekodkan segala-galanya untuk sidang perbicaraan di akhirat. Bukankah sudah sampai kepada kita firman Allah mengenai nasib manusia yang mudah melupakan dosanya.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata: Aduhai celaka kami, Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang sudah mereka kerjakan ada tertulis dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juga pun." (Surah al-Kahfi, ayat 49)

Mengapa manusia selalu mengulangi dosanya selepas bertaubat? Apakah kerana syaitan lebih bijak menyelewengkan mereka dengan hujah bahawa Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun? Lalu mengapa orang bodoh itu tidak berfikir apakah tujuan diciptakan neraka jika mereka semua kononnya boleh masuk syurga dengan cara mempermain-mainkan pengampunan Allah?

Orang yang benar-benar beriman tidak akan terjerumus ke dalam lubang sama dua kali dan orang yang benar yakin dengan perhitungan hari akhirat pasti berusaha menjadikan hari ini lebih baik daripada kelmarin dari segi peningkatan ilmu, iman dan ibadat.

Jadi panggilan apakah yang paling sesuai bagi mereka yang selepas bertaubat selalu berbuat dosa kembali secara berulang? Agaknya mereka ini sesuai dipanggil dengan sebutan hamba Allah yang tidak tahu malu.

Seorang lelaki bertanya kepada Ibrahim bin Adham: "Wahai Imam, aku ingin bertaubat dan meninggalkan dosa tetapi aku selalu mengulangi dosaku, tunjukkanlah kepadaku jalan yang mencegah aku bermaksiat lagi kepada Allah."

Ibrahim bin Adham berkata: "Jika engkau ingin bermaksiat janganlah engkau melakukannya di atas bumi milik Allah ini. Lelaki itu bertanya: Lalu di manakah aku boleh melakukannya? Ibrahim bin Adham menjawab: Keluarlah dari bumi-Nya. Dan jika engkau masih ingin melakukan maksiat, jangan makan rezeki kurniaan-Nya. Lelaki itu bertanya: Bagaimana aku boleh hidup tanpa rezeki daripada-Nya? Ibrahim berkata: "Tidakkah engkau rasa malu hidup di atas bumi-Nya dan makan daripada rezeki-Nya kemudian melakukan maksiat kepada-Nya?"

Mengapa ramai hamba Allah yang sudah bertaubat di hadapan Kaabah, disaksikan masjid Rasulullah SAW di sisi makamnya, dengan lelehan air mata yang menyesakkan dada tetapi dengan sekelip mata mengulangi kembali perbuatan maksiat dan melupakan janji setia kepada Allah yang diikat di lehernya?

Dia ditipu oleh hasutan syaitan yang memanjangkan angan-angan bahawa dengan hartanya dia boleh 10 kali lagi mengerjakan haji dan menambah amal salih. Tetapi dia lupa sihat dan sakit, ajal dan maut di tangan Allah yang tidak mungkin dibeli dengan harta dan kedudukannya. Bagaimana jika Allah mencabut nyawanya dalam keadaan dia bermaksiat?

Begitu pula ketika seseorang ditimpa musibah, serta-merta dia ingat kepada Allah dan cepat bertaubat, tetapi dengan sedikit saja harta dan keuntungan yang Allah tambahkan, dia sudah pun lupa dan lalai kerana tidak tahan dengan ujian harta itu, akhirnya dia bermaksiat kembali tanpa rasa malu.

Jelaslah betapa pentingnya seorang hamba memiliki rasa malu kepada Allah supaya dia sentiasa berada dalam keadaan sedar dan terjaga mata hatinya, tidak tidur dan lalai dibius oleh kemaksiatan yang bermaharajalela.
Go to the top of the page
 
+Quote Post

Reply to this topicStart new topic
1 pengguna membaca topik ini (1 Tetamu dan 0 Pengguna tidak dikenali)
0 Ahli:

 



Versi Ringkas Masa sekarang: 5th April 2020 - 01:45 AM