
IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, gelaran "Menteri Besar Mahkamah' patut diberikan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang telah memulakan proses mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Perak yang sah.
Beliau berkata, oleh kerana proses mahkamah itu dimulakan oleh Mohammad Nizar, sewajarnya gelaran itu diberikan kepada bekas Menteri Besar Perak itu dan bukan dirinya.
"Jadi proses mahkamah itu dilakukan oleh Nizar, bukannya saya. Tok Guru (Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang saya hormati pun manusia juga, dia pun buat silap dan bukannya manusia maksum.
"Jadi saya tolong perbetulkan sedikit pandangan Tok Guru itu," kata Dr. Zambry kepada pemberita di sini semalam semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu Sabtu lepas bahawa beliau adalah "Menteri Besar Mahkamah" dan tidak mewakili seluruh rakyat Perak.
Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah dalam satu keputusan sebulat suara selepas mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah adalah salah.