
JOHOR BAHRU - Gara-gara bermurah hati membantu peminjam ah long melangsaikan hutang, kereta seorang pengurus sebuah syarikat kewangan berlesen disimbah cecair misteri dipercayai air bateri petang kelmarin.
Menurut mangsa, Salbiah Saleh, 43, cat pada kereta tersebut mengalami hakisan teruk dan perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh ah long yang marah kerana pihaknya membantu beberapa peminjam ceti haram itu melangsaikan hutang mereka baru-baru ini.
Ceritanya, dia meletakkan kereta Honda Civic yang dipinjam daripada ketuanya di belakang pejabatnya di sini pukul 6.30 petang.
"Apabila hendak alihkan kereta pada pukul 8 malam, saya perasan ada kesan menggelupas di but belakang, bumbung dan bahagian depan.
"Saya syak ia air bateri kerana cat kereta terhakis dengan cepat," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ekoran itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Larkin pada pukul 8.19 malam dan ketuanya turut datang selepas dimaklumkan kejadian itu.
"Saya mengesyaki ini perbuatan ah long memandangkan ketua saya telah banyak kali menerima ugutan sejak beberapa tahun lalu.
"Ada juga kejadian cermin kereta dipecahkan, tayar kereta ditoreh dengan pisau dan banyak lagi,'' jelas beliau sambil menyatakan syarikatnya telah banyak membantu individu yang tersepit dengan ah long melangsaikan hutang mereka.