PENGKALAN KUBOR 9 Ogos - Seorang warga emas ditahan kerana disyaki menyimpan hampir satu tan metrik gula yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam serbuan di di Kampung Genting dekat sini semalam.
Wanita berusia 67 tahun itu ditahan di rumahnya selepas sepasukan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) membuat serbuan kira-kira pukul 11.45 malam.
Warga emas itu memberitahu pihak berkuasa bahawa dia tidak mengetahui kesalahan menyimpan gula seberat 960 kilogram bernilai RM1,440 itu dan mendakwa ia milik seorang rakannya.
Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid bagaimanapun berkata, rumah itu dipercayai dijadikan transit oleh penyeludup untuk mengumpul bekalan gula dalam kuantiti yang besar sebelum dibawa ke negara jiran.
"Kita percaya rampasan ini ada kaitan dengan kes cubaan penyeludupan gula yang berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) minggu lalu.
"Kesemua rampasan ini akan diserahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam pada itu, Mazlan memberitahu, pemantauan berkala akan dilakukan sekitar Tumpat yang menjadi kawasan tumpuan penyeludupan pelbagai barangan keperluan menjelang musim perayaan ini.
Menurutnya, selain gula, minyak masak dan beras adalah antara barangan yang menjadi tumpuan untuk diseludup ke negara jiran.
"Kita berjaya patahkan beberapa cubaan untuk menyeludup minyak masak baru-baru ini ekoran permintaan yang tinggi di sana (Thailand)," tambahnya.