KUALA LUMPUR - Sasterawan ulung Inggeris, William Shakespeare pernah berkata: to be or not to be, that is the question.

Petikan pujangga itu bermain di fikiran apabila dirujuk sama ada bahasa Inggeris patut dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin melontarkan persoalan itu untuk dibincangkan oleh orang ramai dan bagi kerajaan mendapatkan maklum balas.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa ramai pelajar di luar bandar akan gagal SPM jika bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus.

"Dengan itu, saya tidak fikir ia (tidak menjadikan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib untuk lulus) memenuhi tujuan kerana bahasa Inggeris adalah bahasa yang amat penting yang kita gunakan dalam kehidupan seharian kita," katanya semasa merasmikan penubuhan Persatuan Alumni Maktab Kirby yang baru di sini semalam.

Menurut beliau, untuk meningkatkan kualiti kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, pengajaran mata pelajaran bahasa Inggeris perlu dilakukan oleh guru berkelayakan.