Bantuan - Carian - Ahli-ahli - Kalendar
Versi Penuh: Dr Faiz dan Nurul Syuhada, Dilamun cinta?
CAKAP.Net > Cakap Santai > Cakap Dunia Hiburan
ijamidayu
Impian melangkaui angkasa: Nurul Syuhada senang sikap matang Dr Faiz

KUASA Tuhan menemukan Adam dan Hawa. Begitu jugalah halnya antara angkasawan kedua negara, Mejar Dr Faiz Khaleed dengan pengacara Majalah Tiga, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin. Mereka bertemu di Russia namun ketika itu masing-masing tidak terdetik yang pertemuan pertama itu bakal membawa kepada episod baru sebuah perhubungan.

Meskipun masing-masing secara terbuka mengakui perhubungan mereka masih di peringkat mengenali hati budi masing-masing, ramai di kalangan peminat dan media seolah-olah merestui salam perkenalan dua ikon itu. Bijak, matang dan terkenal - begitulah hebatnya impak personaliti dua bintang terkenal ini.



Jemputan mengikuti penggambaran Majalah Tiga bersama AirAsia di Ho Chi Minh, Vietnam, baru-baru ini memberi kesempatan untuk menyelami isi hati jelitawan berusia 24 tahun itu. Tanpa berselindung, Nurul Syuhada mengakui dia kini dalam proses mengenali hati budi angkasawan kedua negara itu.

Bercerita lanjut mengenai perhubungan mereka, Nurul Syuhada mengatakan sejak tiga bulan kebelakangan ini, barulah dia mengenali lebih dekat Dr Faiz, itupun selepas kejadian kemalangan yang menimpa doktor gigi itu.

Sebagai seorang kenalan dan pernah mengikuti membuat liputan ketika di Russia, dia merasakan tidak salah bertanya khabar mengenai kesihatannya.



"Saya tidak menafikan kemalangan yang menimpa dirinya itu sedikit sebanyak membuatkan kami menjadi lebih rapat. Dia pula seorang yang senang diajak berbincang dan memahami diri saya. Lebih penting, kami jenis yang sekepala," kata Nurul Syuhada.

Sambil mengharapkan tiada pihak memperbesarkan isu perkenalannya dengan Dr Faiz, memandangkan angkasawan kedua negara itu sendiri harus lebih memberi tumpuan kepada projek angkasawan selain komitmen selaku ikon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Apatah lagi, dia sendiri merasakan masih terlalu awal membicarakan lebih lanjut mengenai perhubungan yang baru tiga bulan berlangsung.

"Baik saya dan Dr Faiz sendiri, masing-masing tidak menafikan mengenai perkenalan ini. Boleh saya katakan, saya menyenangi sikapnya yang serius, kelakar dan fokus dengan apa yang dia mahukan.



TELITI: Nurul Syuhada dan kru produksi Majalah Tiga sentiasa bekerjasama melaksanakan tugasan yang diberikan.

"Dia juga mudah diajak berbincang dan fleksibel dalam segala hal. Tetapi, karakter saya pula menggelabah dan tidak boleh bersabar," katanya sambil ketawa manja.

Terkenang saat di Russia

DITANYA proses awal mengenali pemuda kelahiran Ampang, Selangor itu, Nurul Syuhada berkata dia pertama kali mengenali Dr Faiz ketika membuat liputan di Russia, pada Oktober tahun lalu, di mana ketika itu Dr Faiz ditugaskan di pangkalan stesen angkasa sementara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Mustapha pula ketika itu di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Katanya, Dr Faiz yang tidak mengikuti Dr Sheikh Muszaphar banyak membantunya dalam membuat liputan penggambaran Majalah Tiga sepanjang tempoh di Russia, sekali gus memberikan pelbagai meklumat mengenai program angkasawan negara di sana.

Namun, dia menegaskan yang ketika itu tiada langsung komitmen atau perasaan untuk mengenali lebih dekat jejaka berkenaan disebabkan kesibukan kerja.

Bagaikan belum puas 'mencungkil' empunya diri ini dan sesekali Nurul Syuhada sendiri bagaikan mengelak untuk bertanyakan lebih mendalam perhubungan awalnya dengan Dr Faiz.

"Cara kami berhubung juga melalui telefon dan SMS. Tidak semestinya sering berjumpa. Andai ada waktu terluang, kadang-kadang kami juga berjumpa dan keluar lepak bersama-sama," kata Nurul seolah-olah mahu menutup segera soalan lebih lanjut.

Nurul yang membahasakan angkasawan kedua itu sebagai Faiz berkata, dia kini bahagia dengan kehidupan yang dilalui, di samping mahu terus bekerja keras dalam skop kerjayanya, sekali gus menerajui Majalah Tiga sebagai program sumber informasi kepada penonton setia TV3.

Tiga hari bersama Nurul Syuhada di samping rombongan media yang mengikuti penggambaran Majalah Tiga di bandar Ho Chi Minh, hati ini bagai merasakan yang pintu hatinya kini cukup bahagia, lantas membuatkan semangatnya begitu membara meneruskan kesinambungan kerjaya yang penuh gemilang.

Majalah Tiga mendewasakan Nurul

LEBIH tujuh bulan bersama produksi Majalah Tiga, Nurul Syuhada mengakui masih di dalam proses pembelajaran untuk menyelami kehendak dan cita rasa penonton setia Majalah Tiga.

Bagaikan merendah diri, dia merasakan masih banyak yang perlu dipelajari bagi memastikan rancangan bermaklumat itu sentiasa memenangi jiwa penonton. Justeru, dia banyak melakukan kajian dan mendapat tunjuk ajar produser dan tenaga kerja produksi itu untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

"Jujur saya dapat rasakan keserasiannya selepas mula mengendalikan segmen Majalah Tiga. Bukan mudah untuk membawa cabaran sebagai pengacara Majalah Tiga selepas dua tahun membesar bersama Nona.

"Bayangkan di Nona dulu menuntut personaliti saya yang lebih lemah lembut tetapi tidak sama sekali di Majalah Tiga yang lebih santai dan lasak," katanya.

Kata Nurul Syuhada, dia sendiri mulanya tidak menyangka akan beralih angin ke Majalah Tiga memandangkan dia merasakan perjalanan kerjayanya akan berterusan di Nona.

"Laluan perjalanan kerjaya saya sedikit berbeza dengan yang dialami personaliti TV3 yang lain. Apapun, saya menyahut cabaran ini untuk memastikan Majalah Tiga yang masuk 24 tahun usianya terus diterima penonton setia TV3.

"Bukan mudah untuk memperoleh kepercayaan pihak pengurusan, apatah lagi saya sendiri membesar dengan Majalah Tiga dan mengikuti titik perubahan pengacaranya dalam tempoh itu," katanya


Kalau betul, cepat2 la nikah hehe
wanmus
mudah je nak gambarkan pasangan ni, hensem dan lawa..hehe..yerlah Dr Faiz hensem dan syuhada lawa n manis..mungkin dah jodoh mereka ditemukan masa program angkasawan negara tu..dan mungkin jugak jodoh pertemuan mereka macam tu, kalau Dr Faiz terpilihlah aritu untuk naik ke ISS jawabnye melepaslah dia..hehehe..tapi tulah jodoh..Allah dah tetapkan semuanya..x dapat naik ke ISS, tapi dapat bunga baik punye..hehe
Ini ialah versi "lo-fi" kepada versi utama. Untuk paparkan versi penuh dengan lebih informasi, format dan imej, sila klik disini.
Cakap.Net © 2019