Bantuan - Carian - Ahli-ahli - Kalendar
Versi Penuh: Kisah 3 juara Liga
CAKAP.Net > Cakap Santai > Cakap Sukan & Rekreasi > Cakap Bola Sepak
♦محمد أفيق♦


Menyamai rekod musuh tradisi, Liverpool kumpul 18 mahkota liga

LONDON: Manchester United memenangi kejuaraan bola sepak Liga Perdana Inggeris 2008-09 berbekalkan keputusan seri 0-0 menentang Arsenal di Old Trafford, semalam.

United kini mempunyai 87 mata dengan baki satu perlawanan manakala kelab tangga kedua, Liverpool, yang turun menentang West Bromwich Albion hari ini mempunyai 80 mata.

Ia adalah kejuaraan liga ketiga berturut-turut buat United dan satu mata dalam perlawanan kedua terakhir kempen itu sudah mencukupi untuk meletakkan Red Devils di luar jangkauan Liverpool serta memastikan mereka menyamai rekod musuh ketat itu dengan sejumlah 18 mahkota liga.

“Ia tempoh 90 minit paling panjang dalam sejarah tetapi kami sudah berjaya mencapainya,” kata pengurus berusia 67 tahun itu selepas persembahan agak gemuruh pasukannya, “Tiada sebarang percubaan berbahaya yang menunjukkan betapa berhati-hatinya perlawanan itu.”.

Ditanya apakah maknanya untuk menyamai rekod Liverpool, Ferguson berkata; “Ia akan menjadi lebih bermakna jika kami mendapatkannya di hadapan mereka. Kami mahu berkembang dengan pasukan ini, yang berkemampuan melakukannya.”

Namun, ia adalah persembahan hambar oleh United tetapi keraian bermula sebaik wisel penamat yang memastikan kejuaraan dan meletakkan mereka bersama Liverpool sebagai kelab England paling banyak memenangi trofi.

Arsenal, yang akan menduduki tempat keempat, banyak menguasai bola tanpa mencipta terlalu banyak peluang terbuka tatkala jentera serangan United hanya sesekali mengancam gawang pelawat.

Ferguson kini sudah mempunyai 25 trofi utama sejak tiba di kelab itu pada 1986 dan berharap untuk menjadikannya 26 apabila United berdepan Barcelona dalam final Liga Juara-Juara pada di Rome, pada 27 Mei ini.

Berbekal gol daripada Cristiano Ronaldo dan persembahan berkualiti dari penyerang Wayne Rooney dan Carlos Tevez, United juga mempunyai pertahanan kental yang menyumbang kepada penjaga gol Edwin van der Sar mencatatkan rekod British dengan melalui 1,311 minit tanpa melepaskan gol.

Ia seketika tampak goyah April lalu, apabila mereka kalah 4-1 di tempat sendiri kepada Liverpool dan kemudian 2-0 di tangan Fulham sebelum kembali memulakan rentetan kemenangan tanpa kalah yang menjarakkan mereka mengatasi Liverpool. - Agensi

Berita Harian
♦محمد أفيق♦
Inter Milan dinobat juara Serie A Itali



ROM: Inter Milan melebarkan penguasaan trofi Liga Serie A Itali selepas musuh ketatnya, AC Milan tewas 2-1 kepada kepada Udinese, awal pagi tadi.

Inter hanya akan bermain awal pagi ini dengan bertemu Siena di gelanggang sendiri.

Kekalahan Milan bermakna pengendali Inter, Jose Mourinho mencipta sejarah manis apabila memperoleh trofi liga pada musim pertamanya di Inter.

Dia menyertai Inter dari Chelsea pada Jun tahun lalu.

Ia juga trofi kejuaraan Mourinho kelima dalam masa tujuh tahun untuk tiga liga di negara berbeza bermula dengan Porto di Pertugal pada 2003 dan 2004, trofi Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea pada 2005 dan 2006.

Milan yang bermain di Udine perlu menang untuk terus bersaing dengan Inter tetapi gagal beraksi baik dan pasti menjadi igauan pengurusnya, Carlo Ancleotti.

Ancleotti pula sebelum ini disebut-sebut akan meninggalkan Milan ke Chelsea musim depan.

“Adakah Inter berhak menang trofi ini? Ya, saya fikir mereka skuad yang konsisten dan mereka berhak memenanginya," katanya.

“Malam ini kami jangka akan bermain baik, tapi ia tidak menjadi kenyataan," katanya. - AFP

Berita Harian
♦محمد أفيق♦
Barcelona juara Liga Sepanyol



MADRID: Barcelona muncul juara Liga Sepanyol untuk kali ke-19 apabila penyandang, Real Madrid kalah mengejut kepada Villarreal 3-2, awal pagi tadi.

Real perlu menang untuk menyekat trofi liga beralih kepada Barcelona, tapi skuad kendalian Juande Ramos rebah untuk kali ketiga berturut-turut, sekali gus mengesahkan Barcelona selesa mendakap trofi itu musim ini.

Ia trofi kejuaraaan kedua Barcelona dalam tempoh empat hari ini selepas membolot Piala Raja Sepangol apabila menang ke atas Athletic Bilbao, Rabu lalu.

Ia juga satu sejarah kepada Barcelona apabila membolot dua trofi dalam satu musim dan kali terakhir melakukannya pada 1998.

Juara liga Sepanyol itu akan bertemu Manchester United - juga menang Liga Inggeris, malam tadi untuk menentukan siapa milik trofi Liga Juara-Juara Eropah musim ini pada final di Rom, 27 Mei nanti.

Kemenangan Villarreal hasil jaringan lewat Joan Capdevila selepas mendahului awal menerusi pemain sayapnya, Robert Pires pada minit ke-17.

Real kemudian memasukkan Gonzalo Higuain menggantikan Klaas-Jan Huntelaar dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-46.

Villarreal kemudian membalas menerusi Cani pada minit ke-63, sebelum Higuain menyelamatkan Real sekali lagi dengan gol penyamaan.

Capdevila menjadi hero Villarreal pada minit-minit terakhir hasil bola muntah penjaga gol Real, Iker Casillas. - AFP
Ini ialah versi "lo-fi" kepada versi utama. Untuk paparkan versi penuh dengan lebih informasi, format dan imej, sila klik disini.
Cakap.Net © 2019