KUALA LUMPUR - Cubaan menghidupkan semula Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) sejak lima bulan lalu akhirnya berkubur apabila markasnya di Jalan GJ, Taman Gombak Jaya, di sini diserbu polis semalam.

Dalam serbuan itu, polis menahan seramai 42 orang termasuk seorang bergelar Datuk dan 36 orang awam berusia 20 hingga 40 tahun yang sedang menjalani proses temu duga.

Malah serbuan pukul 11.55 pagi itu juga telah mengejutkan kesemua 36 lelaki terbabit setelah menyedari mereka ditipu oleh pertubuhan berkenaan.

Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Tajudin Md. Isa berkata, serbuan di sebuah deretan rumah kedai empat tingkat itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki di Beserah, Kuantan pada 26 Mei lalu.

Menurutnya, pertubuhan itu yang diharamkan pada tahun 2003 dipercayai cuba diaktifkan oleh salah seorang suspek yang bergelar Datuk baru-baru ini.

Kosmo! yang berada di lokasi ketika serbuan dijalankan mendapati kesemua lelaki termasuk seorang lelaki kurang upaya yang datang untuk ditemuduga ditahan dan kesemua mereka dibawa ke Bukit Aman untuk diambil keterangan.

Difahamkan, seramai enam lelaki sebelum serbuan dibuat sudah menamatkan sesi temu duga dan mereka akan dicari semula bagi membantu siasatan.

"Kali ini suspek juga menggunakan modus operandi yang sama seperti sebelum PKPM diharamkan dengan menawarkan jawatan dan pangkat seperti di dalam tentera dan polis untuk memperdaya orang ramai.

"Kebanyakan mangsa datang dari pinggir kota dan mereka diminta membuat bayaran sebanyak RM180 sebagai yuran untuk menghadiri temu duga sebelum diberi taklimat mengenai tugas-tugas masing-masing,'' kata Tajudin di sini semalam.