Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com. my

SEPANG: Umat Islam perlu berhati-hati dengan kandungan al-Quran dan terjemahan ‘al-Furqan al-Haq’ yang dimuatkan dalam Internet kerana dikesan mengandungi kesalahan teks serta maksudnya sengaja dilakukan pendakyah Barat untuk memesongkan akidah.

Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), Tan Sri Harussani Zakaria, berkata golongan itu mengubah teks al-Quran secara halus tanpa disedari umat Islam.

“Ayat dalam ‘al-Furqan al-Haq’ salah sama sekali, malah maksudnya menyimpang jauh daripada maksud asal teks al-Quran berkenaan.

“Kami bimbang ada umat Islam terpengaruh, jadi kami mahu pihak berkuasa menghalang pengeluaran seperti ini yang didapati mengeliru dan menyesatkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Teks al-Quran Bil 58/2.2009 KDN di sini, semalam.