
KUALA TERENGGANU - Dengan hanya mengemukakan surat tawaran palsu belajar di universiti, seorang penganggur berusia 29 tahun berjaya memperdaya Yayasan Terengganu (YT) sebanyak 18 kali dengan mendapat bantuan kewangan pendidikan sebanyak RM13,500.
Lelaki tersebut pada mulanya dikatakan sekadar mencuba nasib dengan memohon bantuan semasa pengambilan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan membuat surat tawaran palsu menggunakan nama sendiri.
Bagaimanapun, apabila permohonannya untuk mendapatkan bantuan kewangan sebanyak RM750 itu diluluskan, suspek memperluaskan kegiatan dengan mengemukakan permohonan menggunakan nama orang lain dan mengambil komisen.
Walaupun umur sudah mencecah 29 tahun, namun lelaki itu licik menyamar sebagai bakal mahasiswa untuk memperoleh bantuan kewangan berkenaan sehingga langsung tidak disedari oleh pihak YT.
Dengan mengemukakan surat tawaran universiti palsu, suspek memperdayakan YT untuk meluluskan permohonannya bagi mendapatkan bantuan yang sepatutnya diberi kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melanjutkan pelajaran ke universiti.