LONDON - Sebuah akhbar tabloid semalam melaporkan Mark Lester mendakwa dia adalah bapa kepada anak perempuan Michael Jackson iaitu Paris.

Akhbar itu, News of the World melaporkan Lester memberikan sperma kepada Michael supaya penyanyi itu mempunyai anak.

Lester yang merupakan rakan lama Michael bersedia untuk mejalani ujian bagi mengesahkan dia ialah bapa Paris.

Rakan lama Michael itu pernah membintangi filem Oliver pada 1968.

Dalam wawancara video yang disiarkan di laman web akhbar itu, Lester berkata, dia mendermakan spermanya di sebuah klinik di London.

Ketika itu ujarnya, Michael sudah berkahwin dengan Debbie Rowe.

"Dia (Rowe) merupakan ibu yang melahirkan anak-anak Michael dan saya berpendapat sperma sumbangan saya mungkin digunakan oleh Rowe dan dia mungkin melahirkan anak itu," katanya.

Lester mendakwa, wajah Paris hampir menyerupai muka anak perempuannya yang kini berusia 15 tahun, Harriet.

Michael dan Lester menjadi rakan selama 27 tahun ketika pengurus penyanyi itu memperkenalkan mereka.

Lester kini tinggal di Cheltenham, kira-kira 160 kilometer ke barat London.

Michael yang popular dengan panggilan Jacko meninggal dunia pada 25 Jun lalu di rumah sewanya selepas degupan jantungnya terhenti. - Agensi