KUALA LUMPUR - Petronas Dagangan Bhd. (Petronas Dagangan), mencatat sejarah apabila menjadi stesen minyak pertama di dunia memperkenalkan dua kad kredit Islam secara serentak, iaitu Petronas CIMB Islamic MasterCard dan Petronas Maybank Islamic Ikhwan Visa.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Perniagaan Runcit Petronas Dagangan, Md. Fadzlan Abdul Samad berkata, dua kad kredit yang tidak mengenakan yuran tahunan itu memenuhi tuntutan undang-undang syariah Islam.

"Pengenalan dua kad kredit tersebut juga dijangka dapat memenuhi permintaan pelanggan kerana wujudnya trend yang tinggi terhadap produk dan perkhidmatan Islam,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian kedua-dua kad yang telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Mohd. Sabarudin Mohd. Amin.