KUALA LUMPUR - Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk membenarkan pembantu rumah Indonesia diberi cuti sehari dalam seminggu, dan mereka juga dibenarkan menyimpan pasport sendiri semasa berada di negara ini.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat ketiga Jawatankuasa Kerja bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang diadakan di sini pada 20 Ogos lepas, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang dikeluarkan di sini semalam.

Delegasi Malaysia ke mesyuarat itu diketuai oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Mahmood Adam.

Mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju bahawa penguatkuasaan cuti tersebut akan berkuat kuasa setelah Akta Kerja 1955 dipinda, katanya.

Sementara itu, mesyuarat itu juga bersetuju bagi pembantu rumah yang melarikan diri daripada majikan, pas lawatan kerja sementaranya akan dibatalkan serta-merta dan mereka tidak dibenarkan masuk semula ke Malaysia bagi tujuan pekerjaan, katanya. - Bernama