IPOH - Enam individu termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang ditahan pihak polis ketika sedang berarak ke Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini untuk mengadakan 'Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak' semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, tiga ADUN berkenaan ialah Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Setiawan), Khesvinder Singh (DAP-Malim Nawar) dan Chang Ming Kai (PKR-Simpang Pulai).

Turut ditahan ialah seorang jurugambar akhbar berbahasa Cina dan dua penyokong pembangkang kerana ingkar arahan pihak polis supaya bersurai daripada perhimpunan tersebut.

"Mereka ditahan bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

Zulkifli berkata, Khesvinder juga telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan ringan dipercayai terjatuh ketika cuba melawan sewaktu ditahan polis.