KUALA LUMPUR: Bukan paksaan atau diperdaya sindiket, sebaliknya 32 gadis warga China yang diberkas polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew di sini, awal pagi semalam dikesan memasuki negara ini secara sah hanya untuk menceburkan diri sebagai pelayan pelanggan (GRO) atau gadis pelacur ‘call girl’.

Turut mendorong tindakan itu berikutan negara ini dianggap sebagai lubuk untuk mencari rezeki bagi mereka kerana mampu memperoleh pendapatan mencecah enam angka atau lebih setiap bulan hanya melayan lelaki hidung belang.

Kelab malam terbabit menerima puluhan pelanggan tidak putus-putus setiap malam kerana lelaki hidung belang yang berkunjung tidak ingin ketinggalan mendapatkan layanan istimewa serta manja daripada gadis warga China berusia seawal 18 tahun.

Pemeriksaan mendapati, semua gadis terbabit melakukan kegiatan tidak bermoral itu bagi mendapatkan upah lumayan setiap bulan dan sanggup menyamar pelancong dan menggunakan pas lawatan sosial bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung niat sebenar mereka ke negara ini.


Difahamkan, dengan hasil kegiatan memperdagangkan tubuh itu, kebanyakan gadis warga China terbabit mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 sebulan bergantung jumlah pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan mereka.

Bagaimanapun, keghairahan gadis warga China itu mengumpul wang terhenti apabila mereka dicekup polis dalam serbuan khas dijalankan sepasukan anggota dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman.

Menurut sumber, serbuan kira-kira jam 1.50 pagi itu dibuat selepas anggota polis melakukan intipan selama beberapa minggu sebaik menerima aduan orang ramai berhubung kegiatan tidak bermoral gadis terbabit di kelab malam berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, polis menahan 34 wanita warga China berusia 18 hingga 24 tahun dipercayai GRO dengan berpakaian mencolok mata,” katanya.

Seramai 23 pelanggan pusat itu turut ditahan manakala semua wanita warga China terbabit direman seminggu bagi membantu siasatan.