MAKKAH: Penjadualan semula penerbangan pesawat sewa khas Tabung Haji bagi membawa pulang jemaah haji ke tanah air cuma membabitkan tujuh penerbangan awal dari 2 hingga 10 Disember, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, pihak Tabung Haji sebelum ini sudah membuat tempahan awal bagi membawa pulang semua 26,000 jemaah haji Malaysia bermula 2 Disember hingga 2 Januari ini, namun pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, meminta supaya dilakukan penjadualan semula dalam usaha mengelak kesesakan di lapangan terbang itu yang sedang menjalani proses menaik taraf.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu pihak berkuasa lapangan terbang hanya membenarkan empat pesawat sewa khas membuat penerbangan dalam sehari. - Bernama