KINSGTON - Raja dadah yang menjadi punca keganasan sehingga meragut puluhan nyawa di Jamaica, Christopher 'Dudus' Coke akhirnya ditangkap selepas dia menyerah diri kepada pihak berkuasa, lapor sebuah akhbar semalam.

Disifatkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) sebagai antara raja dadah paling berbahaya di dunia, Coke, 42, menyerah diri di sebuah balai polis di pinggir bandar raya ini, kelmarin dengan diiringi seorang paderi.

Raja dadah itu kini ditahan di balai polis berkenaan dengan kawalan ketat sementara menunggu untuk diekstradisi ke AS berhubung jenayah pengedaran kokain dan penyeludupan senjata.

Sekurang-kurangnya 73 orang maut sepanjang pertempuran bersenjata empat hari pada bulan lalu, apabila pasukan polis dan tentera menyerbu kawasan setinggan Tivoli Garden, dalam usaha mereka menahan Coke.

Pada minggu ini, pemerintah Jamaica menawarkan ganjaran lumayan sebanyak AS$60,000 (RM194,174) semata-mata untuk memperoleh maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan Coke. - Agensi