KUALA TERENGGANU - Sikap bebal pemandu yang sengaja melanggar pelbagai peraturan jalan raya dikenal pasti menjadi punca utama peningkatan kadar kemalangan di negara ini.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, golongan itu sering memandu sesuka hati tanpa menghiraukan keselamatan orang lain sekali gus menghalang usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan.

"Orang yang layak dikategorikan sebagai pemandu bebal ialah mereka yang melanggar peraturan jalan raya sesuka hati.

"Golongan ini tidak menggunakan lampu isyarat ketika menukar laluan dan memandu tanpa mengikut had laju yang ditetapkan," kata beliau.

Beliau ditemui selepas program Seminar Keselamatan Respect Your Limits anjuran PLUS Expressways Berhad dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di sini semalam.