JITRA: Kerajaan sedia mengeluarkan permit kepada pengimport ayam bagi menstabilkan harganya jika harga komoditi itu terus meningkat menjelang sambutan Aidilfitri, tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom, berkata bagaimanapun bekalan ayam, telur dan daging untuk keperluan sepanjang Ramadan dan musim perayaan dijamin mencukupi.

Katanya ayam yang dijual sekitar RM7 satu kilogram (kg) di kebanyakan pasar
dan pasar raya di seluruh negara sejak umat Islam mula puasa dianggap munasabah
kerana ditentukan oleh pasaran walaupun harga di ladang RM4.70 satu kg.

"RM7 masih rendah berbanding di negara-negara jiran. Kos pengangkutan,
makanan dan permintaan naik mungkin menyebabkan harganya meningkat," katanya
ketika diminta mengulas isu harga ayam.
Sebelum itu, beliau bersahur bersama satu keluarga miskin di Kampung
Teluk Malek, dekat sini awal hari ini.

Sehari sebelum puasa bermula harga ayam dilaporkan naik antara 30 sen
sehingga 50 sen satu kg dan ia menimbulkan kegelisahan di kalangan orang ramai
apabila ia meningkat 100 peratus hari ini.

Pada tahun lalu, kementerian membuka permit import kepada syarikat-syarikat namun tiada yang memohon berikutan harga ayam di negara ini masih rendah, katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata Persatuan Penternak
Ayam di seluruh negara memberi perakuan akan membekalkan ayam secukupnya
sehingga Aidilfitri.

"Ladang-ladang ternakan yang terdapat di seluruh negara mampu membekalkan 1.4 juta hingga 1.5 juta ekor sehari melebihi permintaan sebanyak 1.3 hingga 1.4 juta ekor sehari pada masa ini," katanya. - BERNAMA