Sekarang ini semua mata pena wartawan asyik bertumpu kepada persiapan perkahwinan Mawi & Ekin. Ia bukan satu perkara yang pelik kerana begitulah yang selalu terjadi setiap kali artis popular nak kahwin.

Dulu Ziana Zain & Armin. Lepas tu, Erra Fazira & Yusry. Kemudian Datuk Siti & Datuk K. Dan sekarang... Mawi & Ekin pula. Kata orang, itulah antara wedding wedding of the year. Untuk buat liputan, bukan saja penerbitan media rasmi yang turun padang, yang tidak rasmi pun tiba-tiba mencelah entah dari mana dan dapat untung atas angin!

Dah menjadi adat orang Melayu berkahwin, semua orang sibuk nak tahu berapa hantaran belanja. Semasa sidang media live di Astro Awani pada 21 Oktober lalu, Mawi belum sedia 'sebut harga'. Akhirnya, semalam, barulah Mawi mendedahkan kepada umum yang hantaran belanja untuk bakal isterinya itu adalah RM30,000 serba satu!