KUALA LUMPUR – Jumlah pembantu rumah haram di Malaysia mungkin meningkat mendadak sekiranya cadangan kerajaan Indonesia untuk menghentikan penghantaran pembantu rumah ke negara ini pada masa akan datang.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, ketika ini pihaknya menganggarkan terdapat hampir 150,000 pembantu rumah yang bekerja secara haram di negara ini berbanding 450,000 yang berdaftar.

Menurut beliau, perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan lebih 80 peratus atau kira-kira 300,000 pembantu rumah di Malaysia dikuasai oleh warga negara republik berkenaan.

“Ada di antara mereka sanggup menyalahgunakan pas sosial untuk bekerja sebagai pembantu rumah malah ada juga yang menggunakan khidmat sindiket, ejen haram dan sebagainya.

“Kita bimbang sekiranya sekatan itu dilaksanakan kelak akan menyebabkan mereka yang berminat menjadi pembantu rumah sanggup melakukan apa sahaja untuk bekerja di negara ini,” katanya ketika dihubungi semalam.