PADANG BESAR - Golongan pemborong khususnya di kawasan sempadan negara ini dikenal pasti menjadi dalang utama kepada kegiatan penyeludupan barangan kawalan seperti gula, minyak dan tepung ke negara jiran.

Tawaran harga yang tinggi terhadap barangan itu telah membuatkan mereka sanggup menjualnya kepada pemborong di negara jiran sehingga bekalan barangan terbabit berkurangan di pasaran tempatan.

Perkara itu didedahkan Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, Deputi Supritendan Zakaria Abd. Rahman yang berkata, barangan kawalan boleh dijual pada harga yang tinggi di negara jiran sehingga pemborong tempatan berlumba-lumba menjualnya kepada mereka.

"Pemborong tempatan biasanya telah berpakat dengan rakan pemborong mereka di negara jiran untuk membekalkan barangan kawalan terbabit melalui penyeludupan.

"Penyeludupan melibatkan barangan kawalan menjadi lebih aktif lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan kerana barangan negara ini lebih berkualiti dan murah," katanya selepas operasi khas di sebuah gudang kira-kira pukul 3 petang di Kampung Kolam di sini semalam.