PUTRAJAYA - Harga petrol RON95 ditetapkan kepada RM1.80 seliter disebabkan kenaikan subsidi yang perlu ditanggung kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited untuk memberikan subsidi 30 sen bagi setiap liter petrol yang dijual kepada rakyat.

"Janji kami kepada rakyat ialah subsidi 30 sen tetapi subsidi itu pada masa ini lebih daripada 30 sen. Jadi perlu ada sedikit penyesuaian," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pemenang pertandingan lagu 1Malaysia di Bangunan Putra Perdana di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kenaikan harga di pam bagi petrol RON95 daripada RM1.75 kepada RM1.80 seliter manakala RON97 pula dijual pada RM2.05 berbanding RM1.80 berkuat kuasa kelmarin.

Memandangkan beliau menjawab soalan semasa sidang akhbar, Najib berkata, beliau akan memberikan butiran lanjut kemudian.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan harga petrol RON95 sebanyak lima sen berbanding RM1.75 sewaktu diperkenalkan pada Mei lalu tidak memberi kesan secara langsung kepada perbelanjaan pengguna.