KUALA LUMPUR - Dia tidak dapat lena tidur dalam lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi sepanjang malam kelmarin walaupun selepas berjaya memanjat Menara Berkembar Petronas setinggi 452 meter dalam cubaan ketiga sejak 1997.

Namun, Alain Robert, 47, lelaki Perancis yang terkenal dengan gelaran Spiderman atas minatnya memanjat bangunan-bangunan tinggi di serata dunia tanpa menggunakan apa-apa peralatan, ada sebab untuk gembira.

"Misi saya sejak 12 tahun lalu untuk menjejakkan kaki di puncak Menara Berkembar Petronas akhirnya telah tercapai.

"Inilah bangunan paling sukar untuk saya panjat sebab sering dihalang oleh pihak berkuasa anda," katanya kepada Kosmo! di perkarangan Mahkamah Majistret di sini semalam.

Robert sebelum itu terlepas daripada hukuman penjara dan hanya didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Dia yang diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong membayar denda itu dan dibebaskan pada 11.40 pagi.