KLANG: Pekerja sebuah kedai gambar di Taman Sungai Kapar Indah di sini, kebingungan apabila kedai itu yang menyediakan tong sampah mencukupi disaman Majlis Perbandaran Klang (MPK), Khamis lalu.

Griff Sin, 33, mendakwa beberapa pegawai dari Jabatan Alam Sekitar MPK datang ke kedai itu dan menyaman atas alasan tidak menyediakan enam tong sampah.


“Saya tidak puas hati dengan alasan itu kerana kedai ini ada enam tong sampah. Mereka juga nampak tempat saya meletakkan semua tong sampah berkenaan.


“Alasan mereka lagi ialah saya melakukan kesalahan kerana menyediakan dua kotak sebagai tong sampah dan tidak bertutup. Saya yang hairan menyatakan pada mereka kedai saya bukan kedai makan yang perlukan tong sampah bertutup,” katanya ketika ditemui di kedainya, kelmarin.


Difahamkan, kedai itu menyediakan dua kotak sebagai tong sampah dan selebihnya tong sampah plastik.


Griff berkata, dia tidak tahu kewujudan undang-undang MPK yang menyatakan setiap premis perlu menyediakan sekurang-kurangnya enam tong sampah seperti dimaklumkan pegawai terbabit.


Sementara itu, Ketua Jabatan Alam Sekitar MPK, Wan Mohd Sofian Wan Hussain, berkata kedai berkenaan disaman atas kesalahan menggunakan kotak sebagai tong sampah.


“Selepas meneliti laporan pegawai, saya dapati kedai berkenaan hanya melakukan kesalahan itu yang termaktub dalam Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah sarap (2007) MPK.


“Saya juga mengakui pegawai saya melakukan kesilapan ketika menulis perkataan ‘tidak mencukupi’ pada saman berkenaan kerana dia sepatutnya menulis kedai itu tidak menyediakan tong sampah sesuai,” katanya ketika dihubungi di sini.


Menurutnya, perkara berkenaan juga sudah dibincangkan dalam mesyuarat bersama ahli majlis dan pihaknya akan berjumpa pemilik kedai bagi menyelesaikan masalah terbabit.


Bagaimanapun, pihaknya menghargai usaha pekerja kedai berkenaan yang menyedari tanggungjawab menjaga kebersihan.

p/s: nak berapa byk tong sampah pon.